Masyarakat Kadazandusun
Masyarakat Kadazandusun terdiri dari pelbagai kelompok di berbagai daerah di Sabah dan masing-masing mempunyai adat resam yang sedikit berlainan. Namun sekarang terdapat kesedaran untuk bersatu sebagai satu kaum.
Walaupun kini sebahagian besar masyarakat Kadazandusun telah beragama Kristian tetapi secara tradisi telah ada konsep ketuhanan di kalangan mereka disebut “Kinorohingan”. Dari keturunan inilah maka manusia berada di dunia dengan membawa segala nilai dan adat yang sedia adat.
Demikian juga roh manusia yang meninggal akan berpindah ke Gunung Kinabalu yang disebut mereka sebagai “Aki Nabalu”. Dari sana roh-roh akan berpindah pula ke tempat lain sebagai syurga dan neraka.
Untuk mempastikan manusia dan roh terselamat maka masyarakat mengamalkan hukum adat sebagai peraturan kehidupan. Maka adat membentuk kelakuan supaya benar dan betul. Segala pelanggaran terhadap adat akan menerima hukum dari yang ringan hingga yang berat seperti hukum mati. Hukuman yang ringan termasuklah membayar “sogit / sugit” yakni denda terhadap suatu kesalahan yang dikenakan oleh Ketua Masyarakat dan juga Mahkamah Anak Negeri.
Adat mengatur semua corak kehidupan dari beranak hingga kepada kematian. Dari sejak dalam kandungan seorang ibu sudah menghadapi pelbagai pantang larang agar dia sentiasa baik dan selamat. Ketika itu juga bidan (manninikau) telah ditentukan yang akan menguruskan kelahiran anak.
Setelah kelahiran lebih banyak lagi pantang yang dikenakan untuk keselamatan ibu. Anak juga dijaga supaya tidak dirasuk oleh roh jahat. Pada hari ke 8 anak dicukur dan diberi nama dengan segala jampi serapahnya.
Perkahwinan di kalangan masyarakat Kadazandusun berlaku menurut hukum adat dan bermula dari merisik. Adat ‘mintarom’ melarang perkahwinan sumbang antara anggota keluarga yang rapat. Selepas risikan dan tidak ada bermimpi buruk maka pertunangan dirasmikan dengan pemberian cincin.
Untuk perkahwinan akan diadakan adat menghantar yang terdiri dari pelbagai alatan seperti gong dan tajau bergantung kepada taraf ibubapa dalam masyarakat. Selepas itu diadakan pesta perkahwinan yang mengikat keduanya sebagai suami isteri. Adat kematian melibatkan anggota keluarga dan masyarakat umum. Anggota keluarga menjaga mayat dari roh jahat dengan tidur berdekatan. Kemudian mayat dibersihkan, dimandikan, dipakaikan pakaian dan dikebumikan bersama barang persendirian ketika hidup. Di sepanjang upacara ini pelbagai pantang dan larang dikenakan kepada keluarga dan orang awam untuk menjaga kesejahteraan kampung dan penduduknya.
Hukum adat adalah segala peraturan hidup mereka. Kesalahan melanggar sebarang adat akan dikenakan sugit. Terdapat berbagai sugit dalam semua aspek kehidupan berkeluarga, hak peribadi, hak kampung halaman dan juga perhubungan dengan alam.
Demikian juga hidup manusia dalam alam adalah bersama dengan berbagai makhluk halus yang baik mahupun yang jahat. Maka adat itu menjaga hubungan ini kerana takut berlaku pelanggaran dan menyebabkan roh itu mengenakan kesakitan kepada manusia. Dalam hubungan dengan alam ghaib inilah “Bobohizan” memainkan peranan penting untuk menjaga perimbangan hubungan itu. “Bobohizan” akan menggunakan mentera, jampi dan serapah untuk berhubung dan memohon kebaikan dari roh yang menghuni alam ghaib.
Seperti juga masyarakat lain yang bertani maka orang Kadazandusun mempunyai pelbagai upacara berkaitan pertanian, yang berkait masyarakat umum dan juga diri orang persendirian. Upacara pertanian kini menjadi perayaan tahunan Kaamatan. Upacara masyarakat pula berkaitan perbersihan kampung, menghalau penyakit dan memohon kepada roh supaya melindungi mereka. Demikian itu masyarakat memainkan peranan untuk menanam nilai rohani ke dalam anggotanya demi keselamatan.
Print This Post
4,500 views

